Pertemuan dengan ulama Besar Indonesia

Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, pada petang Selasa, 3hb Januari 2012, saya telah berkesempatan bertemu dan meluangkan masa bersama sahabat saya dari Negara tetangga Indonesia, Al-Fathil Habib Rizieq Shihab. Pertemuan itu berlangsung dirumah sahabat saya Dato Haji Zainal Abidin Awang Kechik di Damansara Utama.

Beliau adalah seorang ulamak dan pendakwah muda yang juga merupakan Ketua Umum Front Pembela Islam (FPI). Sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang melaksanakan kerja-kerja dakwah di Indonesia.

Beliau datang ke Kuala Lumpur bersama keluarganya untuk bercuti dan berehat sambil bertemu sahabat-sahabat di Kuala Lumpur. Berehat sebentar dari jadual dakwahnya yang sangat padat di Indonesia.

Habib Rizieq yang tidak lokek ilmu ini sudi berkongsi ilmu dan pengalaman dakwahnya di Indonesia. Walaupun kontek perbincangan petang itu merujuk kepada keadaan dan suasana umat Islam di Indonesia namun saya fikir apa yang berlaku di Indonesia tidak jauh bezanya dengan apa yang berlaku di Malaysia dan juga dimana sahaja umat Islam berada.

Topik perbincangan petang itu cukup menarik. Ianya berkisar kepada persoalan mengapa semakin banyak aktiviti-aktiviti dan program-program dakwah dilakukan semakin berleluasa pula perbuatan maksiat ? Ini menimbulkan pertanyaan mengapa bolih jadi begitu ? Dimana silapnya ?

Mengapa usaha-usaha dakwah yang dilakukan pada hari ini tidak mendatangkan hasil sebagaimana yang diharapkan ? Tidak mampu menghadirkan kekuatan yang berupaya untuk merubah dan mengubah umat ? Juga tidak mampu menghadirkan kekuatan untuk membangunkan umat ?

Menurut beliau, keadaan ini wujud kerana berlaku perubahan nilai dalam medan dakwah. Dengan berlakunya perubahan tersebut ini yang menyebabkan usaha-usaha dakwah tersebut tidak mampu menghadirkan kekuatan sebagaimana di zaman Rasulullah dan para sahabat serta dilanjutkan kemudiannya oleh para tabiin-tabiin sehingga Islam mampu berkembang keseluruh dunia.

Pertama – Tuntunan bukan tontonan.

Dakwah seharusnya menjadi tuntunan atau bimbingan atau pedoman. Para pendakwah atau da’i itu sendiri seharusnya menjadi contoh dan suri tauladan kepada apa yang telah didakwahkan. Sebagaimana yang telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat serta para Tabiin. Dengan pendekatan yang sedemikian, umat yang menjadi sasaran dakwah akan mengikuti contoh dan tauladan sebagaimana yang telah dipamerkan oleh para pendakwah dan da’i.

Namun apa yang berlaku pada hari ini adalah sebaliknya. Program-program dakwah yang dijalankan tidak menjadi tuntunan sebaliknya sekadar menjadi tontonan. Sebagaimana menonton konset-konset atau pertunjukan-pertunjukan hiburan yang lainnya. Pendakwah-pendakwahnya atau da’i-da’inya juga sudah seperti para artis yang membuat persembahan hiburan.

Mereka berjenaka dan membuat cerita-cerita kelakar yang membuatkan para penonton mereka ketawa dan terhibur dengan persembahan mereka. Sehingga menenggelam segala ilmu dan pedoman yang ingin disampaikan. Sehingga yang diingati oleh para penonton hanyalah jenakanya sahaja.

Jadi, walau sebanyak mana pun program dakwah yang dijalankan, ianya tidak akan mendatangkan kesan dan perubahan didalam masyarakat. Yang berubah program dakwahnya bukan masyarakatnya. Semakin banyak program dakwah semakin jauh masyarakat dari landasan yang sebenarnya.

Kedua – Kewajipan agama bukan kerjaya.

Dakwah adalah merupakan kewajipan yang dituntut dalam agama. Kewajipan yang sangat ditekankan. Biar pun hanya menyampaikan walau sepotong ayat sekalipun. Begitu sekali penekanan usaha-usaha dakwah dalam Islam. Sehingga usaha-usaha dakwah ini menuntut pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit yang bukan sedikit. Usaha yang perlu ditekuni dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

Namun pada hari ini, dakwah sudah menjadi satu profession atau pun kerjaya yang menguntungkan yang bolih mendatangkan hasil atau pulangan yang lumayan. Sehingga ramai pendakwah atau da’I yang menjadi kaya dan mempunyai kehidupan yang baik hasil dari kerja-kerja dakwah yang mereka lakukan.

Kini, ramai pendakwah yang menentukan bayaran mereka apabila mereka dijemput untuk memberikan ceramah atau pun kuliah. Semakin popular mereka semakin tinggilah bayaran yang diminta. Oleh sebab itu ramai yang berlumba-lumba untuk tampil dikaca television kerana dengan berbuat demikian ini akan meningkatkan populariti dan juga rating mereka.

Ketiga – Medan perjuangan bukan medan perniagaan.

Dakwah adalah medan perjuangan. Perjuangan yang menuntut pengorbanan. Masa, tenaga, wang ringgit hatta nyawa sekalipun. Ini yang di sunnahkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat dan para tabiin.

Mereka berjuang dengan gigih keseluruh pelusuk dunia untuk menyampaikan seruan Allah SWT. Mereka tinggalkan anak dan isteri, mereka korbankan wang ringgit dan harta benda dan mereka korbankan jiwa raga mereka untuk berdakwah.

Mereka tidak menginginkan apa-apa dari perjuangan dan usaha dakwah mereka selain daripada keredhaan Allah SWT. Hasil perjuangan mereka yang gigih dan bersungguh-sungguh, Islam pada suatu masa dahulu telah berjaya menguasai dua pertiga dunia. 
Pada hari ini, dakwah sudah menjadi satu medan perniagaan. Banyak syarikat-syarikat yang tumbuh bagaikan cendawan menawarkan pelbagai program jenama Islam dengan mengunakan alasan untuk berdakwah namun hakikat sebenarnya adalah untuk mencari keuntungan material.

Begitu juga dengan stesen-stesen TV yang berlumba-lumba menampilkan berbagai-bagai program dan pertandingan yang menggunakan jenama Islam atas alasan dakwah walaupun sebenarnya adalah untuk meraih keuntungan daripada pihak penonton dan penaja.
Suasana ini memperlihatkan kehebatan program dan aktiviti-aktiviti dakwah yang dijalankan. Namun kesannya didalam masyarakat masih sangat mengecewakan. Usaha-usaha dakwah yang dijalankan belum mampu membangunkan umat Islam yang berkualiti. Sebab itu walaupun bilangan umat Islam kini sudah mencecah 1.7 billion tetapi umat Islam sangat lemah.

Walaupun banyak institusi-institusi Islam yang didirikan namun ianya tidak mampu memberikan hasil dan kesan yang diharapkan. Umat Islam sendiri yang masih menolak Islam sama ada secara sedar atau tidak sedar.

Semoga tulisan ini dapat dijadikan renungan dan ikhtibar kepada kita semua dalam memperjuangkan Islam sebagai cara hidup yang diredhai. Sama ada dalam pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan kewangan, pendidikan dan seluruh aspek kehidupan.
Marilah sama-sama kita berjuang untuk meluruskan kembali segala yang sudah tersasar dari landasannya yang sebenar.

Kepada sahabatku Al-Fathil Habib Rizieq Shihab, terima kasih atas kesudian berkongsi ilmu dan pengalaman. Teruskan perjuangan. Semuga perjuangan anda diberkati dan diredhai oleh Allah SWT begitu juga dengan kehidupan anda sekeluarga di dunia dan juga di akhirat.

Terima kasih juga atas jemputan anda ke Majlis Tabligh Akhbar anjuran FPI pada 3hb Februari 2012 di Jakarta, Indonesia. Insyaallah saya akan berusaha untuk hadir di majlis tersebut…