Hadis mengenai Akhir Zaman


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Para ulama membahagikan tanda-tanda akhir zaman kepada dua iaitu pertama tanda-tanda kecil dan kedua tanda-tanda besar . Tanda-tanda kecil jumlahnya sangat banyak dan datang terlebih dahulu, sedangkan tanda-tanda besar datang kemudian jumlahnya ada sepuluh.
Nabi SAW bersabda maksudnya :  “Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya”. Kemudian baginda menyebutkannya: “Asap, Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam a.s, Yakjuj dan Makjuj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka”. (Hadis Riwayat Muslim)
Allah SWT masih sayang kepada umat manusia, sehingga Allah SWT datangkan tanda-tanda kecil dalam jumlah banyak sebelum datangnya tanda-tanda besar. Dengan demikian manusia diberi kesempatan cukup lama untuk merenung dan bertaubat sebelum tanda-tanda besar datang menjelma.
Banyak pendapat mengatakan bahawa keadaan dunia kebelakangan ini berada di ambang datangnya tanda-tanda besar kiamat. Kerana di masa kita hidup dewasa ini sudah sedemikian banyak tanda-tanda kecil yang telah muncul. Hampir keseluruhan tanda-tanda kecil kiamat yang disebutkan oleh Nabi SAW sudah muncul semua di zaman kita. Maka kedatangan tanda-tanda besar tersebut hanya menunggu waktu sahaja.
Tanda besar pertama yang bakal datang ialah keluarnya Dajjal. Namun sebagian ulama berpendapat bahawa sebelum munculnya Dajjal harus datang terlebih dahulu Tanda Penghubung antara tanda-tanda kecil kiamat dengan tanda-tanda besarnya. Tanda penghubung dimaksud ialah diutusnya Imam Mahdi ke muka bumi.
Dalam sebuah hadis Nabi SAW mengisyaratkan bahwa Imam Mahdi pasti datang di akhir zaman. Ia akan memimpin umat Islam keluar dari kegelapan kezaliman dan kerosakan menuju cahaya keadilan dan kejujuran yang menerangi dunia seluruhnya. Ia akan menghantarkan kita meninggalkan corak pemerentahan diktator yang memaksa rakyat patuh kepadanya dan mengabaikan kehendak Allah dan Rasul-Nya . Proses tertegaknya sistem khalifah Islam dengan menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan hidup baru saja bermula dengan tumbangnya beberapa pemerentahan diktator di timur tengah.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Andaikan dunia tinggal sehari sungguh Allah akan panjangkan hari tersebut sehingga diutus padanya seorang lelaki dari ahli baitku namanya serupa namaku dan nama ayahnya serupa nama ayahku. Ia akan penuhi bumi dengan kejujuran dan keadilan sebagaimana sebelumnya dipenuhi dengan kezaliman dan penganiayaan.” (Hadis Riwayat  Abu Dawud 9435)
Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sungguh, bumi ini akan dipenuhi oleh kezaliman dan kesemena-menaan (sewenang-wenangnya). Dan apabila kezaliman serta kesemena-menaan itu telah penuh, maka Allah SWT. akan mengutus seorang laki-laki yang berasal dari umatku, namanya seperti namaku, dan nama bapaknya seperti nama bapaku (Muhammad bin Abdullah). Maka ia akan memenuhi bumi dengan keadilan dan kemakmuran, sebagaimana ia (bumi) telah dipenuhi sebelum itu oleh kezaliman dan kesemena-menaan. Di waktu itu langit tidak akan menahan setitis pun dari titisan airnya, dan bumi pun tidak akan menahan sedikit pun dari tanaman-tanamannya. Maka ia akan hidup bersama kamu selama 7 tahun, atau 8 tahun, atau 9 tahun.” (Hadis Riwayat Thabrani)
Sahabat yang dimuliakan,
Dalam ajaran Islam, Imam Mahdi ialah seorang mukmin berusia muda yang akan dipilih oleh Allah S.W.T. untuk menghancurkan semua kezaliman dan menegakkan keadilan di muka bumi sebelum datangnya hari kiamat.
Hal ini diterangkan sangat jelas dalam sebuah hadis nabi yang di riwayatkan oleh Thabrani di atas.
Hadis lain yang menerangkan tentang kedatangan Imam Mahdi telah bersabda Rasulullah SAW maksudnya : “Pada akhir zaman akan muncul seorang khalifah yang berasal dari umatku, yang akan melimpahkan harta kekayaan selimpah-limpahnya. Dan ia sama sekali tidak akan menghitung-hitungnya.” (Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad)
Imam Mahdi sebenarnya adalah sebuah "nama gelaran" sebagaimana halnya dengan gelar khalifah, amirul mukminin dan sebagainya. Imam Mahdi dapat diertikan secara bebas bermakna "Pemimpin yang telah diberi petunjuk" Dalam bahasa Arab kata Imam adalah pemimpin, dan perkataan Mahdi bererti  "orang yang mendapat petunjuk"
Nama Imam Mahdi sebenarnya seperti yang disebutkan dalam hadis di atas, ia bernama Muhammad (seperti nama Nabi Muhammad S.A.W, nama bapanya pun sama seperti nama bapa Rasulullah SAW  iaitu Abdullah). Nama Imam Mahdi sama dengan nama Rasulullah S.A.W. iaitu Muhammad bin Abdullah.(Nama setiap roh hamba ALLAH SWT ) Setiap alam ada nama yang berbeza-beza bagi setiap hamba ALLAH SWT .Kenalilah diri anda dahulu jadi anda tahu nama anda siapa di setiap alam dan darjat anda di sisi ALLAH SWT )
Tidak ada seorang pun di muka bumi ini yang mengetahui tentang Imam Mahdi dan ciri-cirinya, kecuali Rasulullah SAW. kerana baginda dibimbing oleh wahyu. Oleh sebab itu bagi kita sebaik-baiknya tempat untuk merujuk tentang perkara ini adalah apa yang baginda  katakan dalam hadis-hadisnya.
Telah bersabda Rasulullah SAW maksudnya : “Al-Mahdi (Imam Mahdi) berasal dari umatku, berkening lebar, berhidung panjang dan mancung. Ia akan memenuhi bumi ini dengan keadilan dan kemakmuran, sebagaimana ia (bumi ini) sebelum itu dipenuhi oleh kezaliman dan kesemena-menaan (sewenang-wenangnya)  dan ia (umur kekhalifahan) berumur tujuh tahun.” (Hadis Riwayat Abu Dawud dan al-Hakim)
Jika diteliti secara tersirat pada maksud Imam Mahdi itu sendiri, ia tersimpan seribu satu rahsia yang disembunyikan oleh Allah dan Rasul-Nya kerana seperti mana kitab al-Quran yang tersimpan seribu satu macam rahsia dan ilmu. Maka, begitu juga pada Imam Mahdi sendiri. Ini adalah kerana Allah hendak memelihara agama-Nya dan hamba-Nya yang taat.
Kemunculan Imam Mahdi bukan kerana kemahuan Imam Mahdi itu sendiri melainkan kerana takdir Allah yang pasti berlaku. Bahkan Imam Mahdi sendiri tidak menyedari bahawa dirinya adalah Imam Mahdi melainkan setelah Allah SWT. mengislahkannya dalam suatu malam, seperti yang dikatakan dalam sebuah hadis berikut :
Telah bersabda Rasulullah SAW maksudnya : "Al-Mahdi berasal dari umatku, yang akan diislahkan oleh Allah dalam satu malam." (Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah).
Imam Mahdi akan berperanan sebagai panglima perang umat Islam di akhir zaman. Beliau akan mengajak ummat Islam untuk memerangi para Mulkan Jabriyyan (Para Penguasa Diktator) yang telah lama memerentah di berbagai negeri-negeri di dunia menjalankan kekuasaan dengan ideologi penghambaan manusia kepada sesama manusia. Bila Allah mengizinkan Imam Mahdi untuk menang dalam berbagai perang yang dipimpinnya, maka pada akhirnya ia akan memimpin dengan kepemimpinan berasaskan akidah Tauhid, iaitu penghambaan manusia kepada Allah semata-mata. Banyak peperangan akan dipimpin oleh Imam Mahdi dan Allah SWT akan senantiasa menjanjikan kemenangan baginya.
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Kalian perangi jazirah Arab dan Allah beri kalian kemenangan. Kemudian Persia (Iran), dan Allah beri kalian kemenangan. Kemudian kalian perangi Rum, dan Allah beri kalian kemenangan. Kemudian kalian perangi Dajjal, dan Allah beri kalian kemenangan.” (Hadis Riwayat Muslim 5161)
Kemunculan Imam Mahdi akan di dahului oleh beberapa tanda-tanda sebagaimana yang disebutkan dalam beberapa hadis berikut :
Aisyah Ummul Mukminin r.ha.  telah berkata, "Pada suatu hari tubuh Rasulullah SAW. bergetar dalam tidurnya. Lalu kami bertanya, 'Mengapa engkau melakukan sesuatu yang belum pernah engkau lakukan wahai Rasulullah?'
Rasulullah SAW. menjawab, 'Akan terjadi suatu keanehan, iaitu bahawa sekelompok orang dari umatku akan berangkat menuju Baitullah (Kaabah) untuk memburu seorang laki-laki Quraisy yang pergi mengungsi ke Kaabah. Sehingga apabila orang-orang tersebut telah sampai ke padang pasir, maka mereka ditelan bumi.'
Kemudian kami bertanya, 'Bukankah di jalan padang pasir itu terdapat bermacam-macam orang?'
Baginda SAW menjawab, 'Benar, di antara mereka yang ditelan bumi tersebut ada yang sengaja pergi untuk berperang, dan ada pula yang dipaksa untuk berperang, serta ada pula orang yang sedang berada dalam suatu perjalanan, akan tetapi mereka binasa dalam satu waktu dan tempat yang sama. Sedangkan mereka berasal dari arah (niat) yang berbeda-beda. Kemudian Allah SWT. akan membangkitkan mereka pada hari berbangkit, menurut niat mereka masing-masing'." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Tidak akan muncul seorang pemimpin (yang dikatakan Imam Mahdi) dikalangan umat Nabi Muhammad di akhir zaman sebelum kebanyakan orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya bersatu di bawah satu kitab(al-Quran) memenuhi bumi ini dengan kebaikan dan mereka juga mengajak dan memimpin manusia yang hendak beriman mengikut mereka melaksanakan semua perintah di dalam al-Quran.
Mereka, tidak berbuat sesuatu kerana manusia atau kerana kepentingan diri sendiri. Ini kerana mereka telah melihat banyak sekali kerosakan yang berlaku atas muka bumi hasil dari tangan-tangan manusia sendiri. Terlalu banyak pecah belah yang berlaku di kalangan manusia seperti mana yang tertulis di dalam surah ar-Ruum ayat 32 yang bermaksud : "iaitu orang-orang yang memecah belah agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Setiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka."
Sebagaimana yang berlaku di dalam setiap negara yang ada di muka bumi ini. Selain umat Islam berjaya dipecahbelahkan menjadi berbangsa-bangsa (wujud negara-negara yang berbeza) mereka juga berjaya dipecahbelahkan dengan wujudnya berbeza-beza kepimpinan di dalam sesebuah negara (wujud parti-parti politik). Dengan adanya keadaan begini semakin sukar umat Islam untuk bersatu kerana perbezaan kepentingan di dalam kelompok masing-masing.
Telah bersabda Rasulullah SAW : "Seorang laki-laki akan datang ke Baitullah (Kaabah), maka diutuslah suatu utusan (oleh penguasa) untuk mengejarnya. Dan ketika mereka telah sampai di suatu gurun pasir, maka mereka terbenam ditelan bumi." (Hadis Riwayat Muslim)
Golongan pemimpin yang mendapat petunjuk dari Allah (Imam Mahdi) sedang berusaha menyatukan kembali perpecahan ini. Akan tetapi mereka juga tidak lari dari mendapat ujian dalam menyatukan semua manusia untuk kembali kepada Al-Quran dan Sunah Rasulullah SAW.
Umat Islam akhir zaman ini amat jauh dari memahami intisari kitab suci al-Quran. Kebanyakan mereka hanya menggunakan al-Quran sekadar untuk dibaca sahaja dan tidak kurang yang menggunakan sebagai azimat. Sedang fungsi sebenar kitab suci al-Quran itu tidak dilaksanakan sebenar-benarnya.
Telah bersabda Rasullah SAW :  "Sungguh, Baitullah ini akan diserang oleh suatu pasukan, sehingga apabila pasukan tersebut telah sampai pada sebuah padang pasir, maka bagian tengah pasukan itu ditelan bumi. Maka berteriaklah pasukan bagian depan kepada pasukan bagian belakang, dimana kemudian semua mereka ditenggelamkan bumi dan tidak ada yang tersisa, kecuali seseorang yang selamat, yang akan mengabarkan tentang kejadian yang menimpa mereka." (Hadis Riwayat Muslim, Ahmad, Nasai, dan Ibnu Majah)
Telah bersabda Rasulullah SAW :  "Akan dibaiat seorang laki-laki antara maqam Ibrahim dengan sudut Kaabah." (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Dawud)
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Akan terjadi perselisihan setelah wafatnya seorang pemimpin, maka keluarlah seorang lelaki dari penduduk Madinah mencari perlindungan ke Mekkah, lalu datanglah kepada lelaki ini beberapa orang dari penduduk Mekkah, lalu mereka membaiat Imam Mahdi secara paksa, maka ia dibaiat di antara Rukun dengan Maqam Ibrahim (di depan Kaabah). Kemudian diutuslah sepasukan manusia dari penduduk Syam, maka mereka dibenamkan di sebuah daerah bernama Al-Baida yang berada di antara Mekkah dan Madinah.” (Hadis Riwayat Abu Dawud 3737)
Difahami bahawa perlantikan Imam Mahdi (Khalifah terakhir umat Islam) akan berlaku dihadapan Baitullah. Ini kerana hadis di atas jelas menerangkan peristiwa yang akan berlaku.
Telah bersabda Rasulullah s.a.w, "Suatu pasukan dari umatku akan datang dari arah negeri Syam ke Baitullah (Kaabah) untuk mengejar seorang laki-laki yang akan dijaga Allah dari mereka." (Hadis Riwayat Ahmad)
Dalam hadis yang disebutkan di atas Imam Mahdi akan memimpin selama 7 atau 8 atau 9 tahun. Semasa kepemimpinannya Imam Mahdi akan membawa kaum muslimin untuk memerangi kezaliman, hingga satu demi satu kezaliman akan tumbang takluk dibawah kekuasaanya.
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Ketika kalian melihatnya (kehadiran Imam Mahdi), maka berbaiat-lah dengannya walaupun harus merangkak-rangkak di atas salju kerana sesungguhnya dia adalah Khalifatullah Al-Mahdi.” (Hadis Riwayat Abu Dawud 4074)
Kemenangan demi kemenangan yang diraih Imam Mahdi dan pasukannya akan membuat murka raja kezaliman (Dajal) sehingga membuat Dajal keluar dari persembunyiannya dan berusaha membunuh Imam Mahdi serta pengikutnya. Dengan kemunculan Dajal menandakan telah wujud salah satu tanda akhir kiamat.
Kekuasaan dan kehebatan Dajal bukanlah lawan tanding Imam Mahdi oleh kerana itu sesuai dengan takdir Allah SWT, maka Allah SWT  akan menurunkan Nabi Isa dari langit yang bertugas membunuh Dajal.
Imam Mahdi dan Nabi Isa akan bersama-sama memerangi Dajal dan pengikutnya, hingga Dajal mati ditombak oleh Nabi Isa di pintu Lod dalam kompleks al-Aqsa