Pengharaman Riba Firman ALLAH SWT dan Hadis Rasulullah SAW

Firman Allah SWT: “Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata, sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Rabbnya, lalu terus berhenti, maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu; dan urusannya kepada Allah. Orang yang mengulangi, maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.” (QS Al-Baqarah: 275)

Imam An-Nawawi rahimahullah berkata: “Telah Ijma’ seluruh ulama Islam tentang pengharaman riba dan ianya termasuk dalam kategori dosa besar, dan dikatakan juga Riba diharamkan oleh semua agama , antara yang berpendapat demikian adalah Imam Al-Mawardi.” (Rujuk Al-Majmu’, 9/391)
Adalah menjadi fenomena yang amat malang bagi umat Islam dewasa ini, apabila mereka amat leka dengan keuntungan duniawi dan langsung tidak mempedulikan tentang besarnya dosa mengamalkan riba. Justeru, di sini disertakan beberapa nas Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang menerangkan tentang besarnya dosa yang ditanggung oleh sesiapa yang mengamalkan riba.
Allah dan RasulNya Mengisytiharkan Perang Terhadap Pengamal Riba
Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan maka ketahuilah bahawa Allah dan Rasulnya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat, maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiayai.” (QS Al-Baqarah: 278~279)
Dalam ayat ini jelas menunjukkan bahawa sesiapa yang enggan dan masih berdegil untuk meninggalkan saki baki riba dalam kehidupannya dengan sengaja, maka ia seolah-olah akan berperang dengan Allah SWT dan RasulNya. Ayat ini juga membayangkan bahawa permusuhan antara Allah dan RasulNya dengan pengamal riba berlaku semenjak kehidupan di dunia lagi sebelum menerima hukuman di akhirat. Maka, malanglah nasib bagi individu atau pemimpin yang tidak mempedulikan larangan tentang riba.
Ibn Abbas r.a. diriwayatkan pernah berkata: “Akan dikatakan kepada pemakan riba di hari kiamat: “Ambillah senjata kamu untuk berperang dengan Allah SWT.” (Jami al-Bayan ‘An Takwil Ayyi Al-Quran, At-Tabari, 3/68 ; Ad-Durru Al-Manthur, As-Suyuti, 3/366)
Berkatalah Abu Hanifah rahimahullah pula: “Inilah ayat di dalam Al-Quran yang paling menakutkan.” (Rujuk At-Tabari, Hamisyh An-Naisaburi, 4/73)
Imam Malik bin Anas rahimahullah pula berkata: “Telah ku buka lembaran-lembaran Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah SAW dan tidak ku dapati (dosa) yang lebih buruk dari riba, kerana Allah SWT mengisytiharkan atau mengizinkan perang ke atasnya.” (Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 3/364)
Berkata Imam Qatadah rahimahullah: “Allah menjanjikan ahli riba dengan hukuman bunuh, dan akan mendapatkannya di mana sahaja mereka berada.” (at-Tabari, 3/72)
Hilang Keberkatan Harta dan Kehidupan
Allah SWT berfirman: “Allah susutkan riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.” (QS Al-Baqarah: 276)
Hilangnya Keberkatan Di Dunia dan Akhirat
Di Dunia: Antara tanda hilangnya keberkatan harta orang terlibat dengan riba adalah hilangnya atau habisnya harta pemilik secara tidak berfaedah dengan mudah, sehinggalah ia akan merasa miskin dan faqir (walaupun ia mempunyai wang yang banyak). Antaranya juga harta tersebut akan menjadi penyebab untuk pemiliknya melakukan banyak maksiat serta kerosakan, hilang sifat amanah, cenderung kepada rasuah, penipuan, dan tamak haloba. Ia juga bakal di timpa ujian harta yang banyak, seperti rompakan, kecurian, penipuan serta doa orang yang dizalimi olehnya juga lebih makbul. (Az-Zawajir ‘an ‘iqtiraf al-Kabair, Ibn Hajar al-Haithami, Dar al-Ma’rifat, Beirut, 1982, 1/224).
Sabda Rasulullah SAW dari Ibn Mas’ud r.a.: “Sesungguhnya Riba walaupun lumayan (dari sudut kuantiti) tetapi hasilnya ia akan membawa kepada sedikit dan papa.” (HR Ahmad; Al-Hakim mengatakannya sahih, Ibn Hajar mengatakan sanadnya hasan (Fath al-Bari, 4/399)
Di Akhirat: Berkatalah Ibnu Abbas r.a.: “Tidak diterima dari pemakan riba sedekahnya, hajinya, jihadnya dan persaudaraannya.” (Al-Jami’ li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 3/362 ; Az-Zawajir ‘An ‘Iqtiraf al-Kabair , ibid, 1/224)
Pengamal Riba Umpama Berzina Dengan Ibu Bapa Sendiri
Rasulullah SAW bersabda: “Riba mempunyai 73 pintu. Riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya.” (HR Ibnu Majah, 2/764; Al-Hakim: Sahih menurut syarat Bukhari dan Muslim)
Lebih Berat dari 36 Kali Zina
Rasulullah SAW bersabda: “Satu dirham Riba yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya lebih buruk dari berzina sebanyak 36 kali.” (Musnad Ahmad , 2/225; Ad-Dar Qutni, hlm 295; Albani mengatakan sahih dalam Ghayatul Maram fi Takhrij Hadis Al-Halal wal Haram lil Qaradhawi, hlm 103)
Riba Adalah Salah Satu Dari Dosa Terbesar
Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW: “Jauhilah tujuh dosa besar: Syirik, Sihir, Membunuh tanpa hak, Makan harta anak yatim, Makan riba, Lari dari medan peperangan (kerana takut) dan Menuduh perempuan yang suci dengan zina (tanpa saksi adil).“ ( HR Bukhari dan Muslim)