Wednesday, 14 March 2012

PERKASA-MEMPORAK PERANDA ATAU MEMPERKASA BANGSA

Pada petang 1hb Jan 2012 saya telah diajak oleh dua orang teman karib saya untuk menghadiri satu majlis ceramah politik anjuran PERKASA sebuah pertubuhan bukan kerajaan di seksyen 24 Shah Alam yang bertajuk ‘ Hapuskan Pengkhianat di Malaysia’. Itulah pertama kali saya menghadiri program anjuran PERKASA sebuah pertubuhan yang semakin popular dan mendapat tempat dikalangan masyarakat Melayu.

Penceramahnya terdiri daripada presidennya Dato Ibrahim Ali yang juga merupakan ahli parlimen Pasir Mas. Dia ditemani oleh dua orang lagi penceramah yang tidak kurang popularnya dan merupakan bekas orang kuat ketua pembangkang di Malaysia. Yang seorang ahli parlimen Kulim dan juga Naib Presiden PERKASA iaitu Dato Zulkifli Nordin dan yang seorang ahli senator iaitu Ezam Mohd Nor.

Kalau penceramahnya hebat sudah pasti ceramahnya juga hebat. Bersemangat dan berapi-api membakar jiwa setiap hadirin yang memenuhi dewan dan luar dewan yang dianggarkan sekitar 2000 orang termasuk wartawan yang membuat liputan dimajlis tersebut.

Majlis ceramah malam itu menjadi medan untuk menghentam ketua pembangkang. Bermacam-macam keburukan ketua pembangkang yang diperkatakan. Bermacam-macam rahsia yang didedahkan. Maklumlah, ketiga-tiganya pernah dekat dengan ketua pembangkang suatu waktu dahulu. Sudah pasti banyak perkara yang mereka ketahui.

Dalam keriuhan tepuk sorak dan jerit pekik daripada sekelian yang hadir, saya terfikir mengenai kata-kata bijak pandai yang mengklasifikasikan manusia kepada tiga golongan berdasarkan mentaliti dan sikap mereka.

Golongan kelas pertama adalah golongan yang bercerita dan berbincang tentang idea. Ini adalah golongan pemikir yang sentiasa berfikir untuk mencari idea-idea baru dan sentiasa berfikir untuk mencari jalan untuk kesejahteraan manusia dan dunia sejagat. Mereka ini adalah golongan yang cintakan ilmu pengetahuan. Golongan yang kreatif dan innovatif serta sentiasa berpemikiran positif dan optimis. Golongan ini agak kecil dalam masyarakat.

Golongan yang kelas kedua pula adalah mereka yang sentiasa bercerita tentang produk dan jenama. Taksub dengan perkembangan fesyen dan lebih mengutamakan gaya hidup terkini. Sentiasa berlumba untuk mempamerkan kemewahan peribadi. Golongan ini cinta dengan kebendaan atau materialistik dan golongan ini agak besar dalam masyarakat.
Sementara golongan kelas ketiga pula adalah golongan yang suka bercerita mengenai orang lain. Gemar bergossip dalam ertikata yang lain. Suka bercerita dan gemar mencari keburukan orang lain. Gemar dengan cerita-cerita skandal dan sensasi. Golongan ini amat besar dalam masyarakat.

Perasaan saya tersentuh dan fikiran saya melayang-layang. Berbagai persoalan menerjah kedalam kotak pemikiran saya. Majlis ceramah malam itu benar-benar menyentuh perasaan saya. Saya bertanya kepada diri saya sampai bila perkara seperti ini akan terus berlaku ? Sampai bila politik kebencian dan politik menyerang peribadi atau ‘ character assassination ’ ini akan terus menjadi budaya politik di Malaysia ?

Kenapa kita berikan ruang dan peluang dan kita biarkan pencacai-pencacai politik seperti ini terus menerus mempengaruhi masyarakat ? Terus menerus membakar emosi masyarakat. Menyemai dan menanam rasa kebencian dalam masyarakat atas nama agama, bangsa dan Negara ? Apa bezanya mereka dengan pihak pembangkang ?

Yang disebelah sana terus menerus memperbodoh-bodohkan masyarakat dan membakar emosi masyarakat. Dan disebelah sini juga melakukan perkara yang sama. Kedua-dua belah pihak terus menerus memperbodohkan pemikiran dan membakar semangat rakyat. Menanamkan rasa kebencian diantara satu sama lain. Apa kesudahannya semua ini ?

Apakah kita mahu masyarakat kita terus menerus bermentaliti kelas ketiga ? Berterusan menjadi masyarakat yang suka bergossip dan sentiasa berminat dengan cerita-cerita sensasi mengenai skandal dan keburukan orang lain ?

Jangan salahkan pencacai-pencacai politik. Itu memang kerja mereka. Dan itu memang cara mereka berpolitik untuk membina nama dan meraih pengaruh mereka didalam masyarakat. Walau apa-pun alasan yang digunakan, akhirnya kuasa dan kekayaan juga yang menjadi matlamat perjuangan.

Kita jangan mengharap yang mereka akan berubah. Sewaktu mereka dipihak pembangkang, mereka juga memainkan sentimen yang sama. Menanamkan rasa kebencian dan menaikkan rasa kemarahan dalam masyarakat.

Kita yang seharusnya berubah. Kita yang seharusnya menolak politik murahan dan menjijikkan seperti ini.

Sudah sampai masanya untuk kita mengubah sikap. Untuk kita menilai dan menentukan semula hala tuju kita. Membina semula budaya dan tradisi dalam masyarakat kita. Membentuk semula falsafah dan nilai-nilai yang menjadi pegangan kita dalam kehidupan bermasyarakat.

Apa salahnya setiap program ceramah dan perjumpaan politik yang kita adakan kita berbincang tentang idea-idea baru, gagasan-gagasan baru atau sudut pandangan-pandangan baru untuk kebaikan bersama. Kita jadikan setiap perjumpaan sebagai majlis ilmu yang membawa kebaikan dan manfaat kepada semua yang terlibat. Setiap perjumpaan menjadi medan untuk kita memupuk kesedaran dan kasih sayang diantara kita. Bukankah itu lebih baik dan lebih berfaedah ?

Jadikanlah politik sebagai alat untuk kita membangkitkan kesedaran masyarakat. Bukan alat untuk menanam kebencian dan perpecahan dikalangan masyarakat. Alat atau instrumen untuk mengingatkan masyarakat mengenai tugas dan tanggung-jawab hakiki mereka sebagai khalifah dan hamba Allah SWT diatas muka bumi ini. Mengingatkan mereka tentang adanya kehidupan yang lain selepas kematian. Menyedarkan mereka betapa apa sahaja yang mereka katakan atau lakukan akan dihisab suatu hari nanti oleh pemilik segala alam dan pemilik segala kejadian.

Biarpun majlis atau program yang sedemikian mungkin kurang popular atau kurang mendapat sambutan namun apa yang lebih penting disini adalah kita telah menjadi agen kepada intelektualisme, perpaduan, keharmonian dan keamanan. Bukan menjadi agen kepada perpecahan, persengketaan dan konflik yang tidak berkesudahan. 

No comments: